Monday, March 07, 2005

Anda setuju dengan pendapat ini??

Serbuan di Zouk:
Tindakan JAWI bertentangan dengan Islam Hadhari!
Oleh Sharifah Shahirah Syed Barakbah

Jeslina: Menerima sokongan padu SiS, Puteri Umno, NGO, Shaharizat dan Marina.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk melahirkan rasa simpati
terhadap Jeslina Hashim, seorang artis yang terlibat dalam satu
serbuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di kelab Zouk
di Kuala Lumpur baru-baru ini. Saya juga turut bersimpati dengan lebih
kurang 100 orang pemuda dan pemudi yang turut ditahan oleh JAWI.

Saya ingin jelaskan di sini bahawa serbuan dan tangkapan yang dibuat
oleh JAWI ini amat bertentangan dengan konsep Islam Hadhari. Islam
Hadhari yang bertamadun tidak pernah membenarkan seseorang
diperlakukan dengan kasar oleh pegawai-pegawai JAWI apatah lagi dia
ditahan di tempat yang jelek bagi seorang Islam untuk kunjungi serta
dalam keadaan yang mengaibkan sehingga mendapat layanan seperti
seorang 'banduan'.

Saya ingin mempersoalkan mengapa tiada peraturan yang jelas mengenai
pengunjung yang dibenarkan pergi ke pub-pub atau kelab-kelab malam,
adakah orang Islam dibenarkan? Apakah pakaian yang dibenarkan? Mengapa
tidak dijadikan ia peraturan, dan jika sesiapa yang langgar peraturan
tersebut?

Ini tentunya membawa maksud tindakan ini amat bertentangan dengan
Islam Hadhari. Islam Hadhari yang memfokuskan tentang ketamadunan
bangsa dan kemajuan negara tidak pernah menyalahkan individu apabila
individu terbabit tidak menutup aurat. Apatah lagi jika seseorang itu
memakai baju tanpa lengan. Ini kerana individu terbabit bukanlah seksi
sehingga meniru artis barat yang terang-terangan lari dari nilai
ketimuran.

Islam Hadhari juga tidak mengharamkan hiburan kerana pemuda-pemudi
Islam juga wajar mendapatkan hiburan selepas penat lelah bekerja atau
belajar di siang harinya. Apakah mereka bersalah sekiranya mereka
ingin bersuka dan berhibur sambil mendengar lagu kesukaan mereka
secara 'live'?

Tindakan JAWI itu telah mencemarkan imej Islam Hadhari yang tentunya
melarang seseorang menghina remaja wanita berikutan pakaian mereka
yang dikatakan kurang sopan dan tidak membenarkan salah seorang
daripada mereka ke tandas untuk membuang air kecil.

Saya amat menyokong tindakan yang diambil oleh kepimpinan Pergerakan
Puteri Umno Malaysia yang menyediakan sebuah pasukan peguam untuk
membantu remaja-remaja wanita yang terlibat bagi mendapatkan hak
pembelaan yang sewajarnya di mahkamah.

Saya juga menyeru agar pihak JAWI atau mana-mana pihak berkuasa agama
negeri supaya tidak menjalankan operasi penguatkuasaan tanpa mengikut
garis panduan umum dan etika yang disediakan di samping mendapatkan
aduan awam terlebih dahulu.

Saya juga mengambil kesempatan di sini mengingatkan para mufti dan
agamawan tanahair khususnya Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria
agar tidak membelakangi pihak berkuasa agama dengan mengeluarkan fatwa
sebarangan seperti yang beliau katakan bahawa Konsert Sure Heboh TV3
adalah haram.

Saya berpandangan Konsert Sure Heboh TV3 patut diteruskan kerana ia
mendatangkan keuntungan kepada syarikat televisyen terbabit yang
secara tidak langsungnya menambahkan hasil pungutan cukai kerajaan.

Sekiranya pihak terbabit menganggap konsert tersebut menghalang orang
ramai menunaikan solat Maghrib, orang ramai sebenarnya tidak dihalang
untuk menunaikan solat Maghrib sebelum menyaksikan konsert terbabit.

Saya berharap kejadian yang memalukan sebegini rupa haruslah dijadikan
iktibar oleh JAWI dan pihak berkuasa agama negeri yang lain supaya ia
tidak lagi berulang di masa hadapan. Marilah kita sama-sama memajukan
negara kita dengan memberikan sumbangan yang lebih berfaedah.

Sharifah Shahirah Binti Syed Barakbah
Alor Setar, Kedah.
Bekas Exco Pergerakan Puteri Umno Malaysia -

**************************************************************

Anda setuju dengan pendapat ini??

No comments: